Kenali Makanan yang Perut anda tidak sukai & ia akan Berterima Kasih pada anda.
Angin adalah satu senario yang anda tidak dapat dipisahkan dalam sistem perubatan tradisi. Orang tua selalu kata:
- makan nangka biar berhemah, nanti berangin semua orang susah.
- kalau makan kacang hijau, jangan lupa letak halia/bawang putih. Nak elak angin banyak sangat masuk badan.
- kalau nak makan kentang, makan dalam kari. Kurang anginnya nanti.
- kalau anak keempat, elemennya ialah angin. Jangan bagi sangat makan berangin, sebab tubuhnya akan dilemahkan dengan makanan dari elemen yang sama.
Untuk kes keempat, saya sendiri tak tahu apa pulak makanan dari elemen api, angin dan tanah.
Apapun, rasa berangin atau dalam Bahasa Inggerisnya bloated bukan calang-calang bila terkena. Ada orang sampai susah nak jalan. Kes kronik ada yang lemah satu badan sampai tak boleh bangun.
Jujurnya saya sendiri pernah masuk hospital kerana angin. Tapi doktor sangkakan gastritis. Selepas ujian, ia disahkan negatif. Dan doktor pakar tersebut memberitahu:
Awak kena tahu sendiri apa makanan yang menyebabkan awak sakit. Kes awak ni cuma kes elergi makanan. Tapi tiada test elergi yang boleh dilakukan.Agak-agak, kalau saya tau, saya tak pergi hospital, doktor. Saya rawat diri sendiri.
Sehingga baru-baru ini, seorang sahabat yang ada masalah perut memberitahu saya: Woih (ni bahasa kami bila teruja), aku dah berjaya hilangkan masalah angin kronik aku! Kau buat gini:
- berenti makan gula putih dan segala yang berasaskan gula terproses
- berenti makan makanan terproses (dalam tin)
- berenti ambil makanan berasaskan tepung gandum
- berenti susu dan soya buat masa ni
- sila bersenam, walau macam mana malaspun kau... hahahah.
- mula cari makanan yang membantu guts kau
Ini bukan satu proses yang mudah atas banyak sebab. Pertamanya, sumber gantian atau makan sihat bukanlah suatu pilihan yang murah dan mudah didapati.
Bukan murah raw cane sugar itu, apatah lagi raw coconut sugar, molasses dan sebagainya.
500g buckwheat flour berharga RM15 ketika artikel ini ditulis dan dijangka akan meningkat lagi nanti.
Besan flour adalah satu sumber tepung yang baik untuk perut dan tubuh secara keseluruhannya tetapi anehnya sukar untuk saya dapati. Orang kata pergi kedai runcit orang India, tapi nak tanya apakah namanya pun saya tak tahu. Bila tanya tepung chickpea, ia bukan seperti yang saya jangka.
Kedua, tahukah anda yang keliling kita semua menggunakan gula putih? Cool Blog pakai gula putih. Zawara Coffee mestilah brown sugarnya pun adalah gula yang dah terproses. Takkan ada syarikat makanan yang sanggup bagi gula mentah dalam hidangan mereka. Ia adalah budget suicide.
Kedai makan juga tentu perlukan ajinomoto dan perencah serta bahan terproses yang lain. Kalau tak, manakan sempat nak hidang makanan untuk pelanggan yang menderu dalam masa kurang 10 minit.
Ketiga - semangat mau kuat. Kena set betul-betul dalam minda.
Jadi, adakah saya betul-betul buat?
Tak sepenuhnya. Selepas sebulan, saya boleh buat nombor 1, 2, 3 dan 5 tapi tidak 4. Ketika itu proses withdrawal berlaku sehingga saya teringin nak makan ais krim, kek dan segala macam biskut. Tapi masih mampu bertahan.
Selepas dua bulan, sesuatu yang aneh berlaku. Perut kurang membuncit tanpa senaman. Berat turun 3kg. Hujung bulan ketiga ada satu insiden yang terlebih minum air kefir yang membuatkan saya demam yang agak teruk dan terpaksa ambil ubat antibiotik yang pastinya memusnahkan flora perut yang sihat (kefir adalah salah satu makanan untuk guts).
Bulan puasa, saya jadi frutarian (makan buah semata) masa berbuka. Dan jadi flextarian (kadang-kadang jadi vegan, vegetarian, makan daging) waktu sahur. Berat turun 6 kg.
Bulan keempat dah langgar pantang. Lepas dua minggu sambung balik. Maka saya melalui proses withdrawal semula. Jadi proses cuba dan lapse semula ini sudah berlangsung dengan agak lama. Silap utama ialah saya tidak merancang selepas demam tempoh hari. Jadi kurang panduan untuk saya setkan minda dengan betul. Pemakanan yang tidak berhemah dan tidak dibantu oleh senaman itu menyebabkan saya naik balik berat - bukan satu sains roket untuk difahami.
Perlu rasanya saya nyatakan dalam proses penjagaan makanan tersebut, apabila saya mengunjungi saudara dan sahabat, saya tidak terlalu berpantang. Air teh 'o' yang dihidangkan masih saya ambil dan biskut raya yang dihulur masih saya ambil tetapi dikurangkan.
Kesimpulan dalam proses kawalan angin
Sesungguhnya menghentikan pengambilan makanan yang disebutkan sangat membantu. Tetapi usaha masih tidak mencapai 100% sebab saya masih tak pergi gym untuk berlari (gym wanita ambil masa 20 min nak sampai - alasannn) mahupun buat yoga di rumah.
Perut saya sangat tenang dalam masa empat bulan itu walaupun saya dah mula langgar pantang bulan ketiga. Saya percaya, jika saya konsisten, perut saya insyaAllah boleh sihat sepenuhnya seperti apa yang dilalui oleh sahabat saya.
Moga diberikan kesungguhan menjaga diri sendiri.
Dan betul kata doktor pakar tersebut: awak perlu tahu apa makanan yang awak boleh makan dan yang tidak.
Cuma mungkin saya tak sangka saya kena dengar doktor pakar cakap seperti itu. Tapi doktor itu bukan Tuhan, dia tiada kuasa merawat pun.
Kalau kita tak bertanggung jawab pada diri sendiri, siapa yang wajar dipertanggungjawabkan?



Comments
Post a Comment